Tiada apa salah bagi Guan Eng dedahkan salah laku – Kit Siang

Tiada apa salah bagi Guan Eng dedahkan salah laku - Kit Siang

Tidak ada yang salah dengan tindakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan segala salah laku dan penyelewengan oleh kerajaan BN terdahulu, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Pada sidang akhbar hari ini, veteran DAP itu menekankan keperluan supaya segala salah laku didedahkan oleh menteri-menteri Pakatan Harapan yang mempunyai maklumat.

Kit Siang diminta untuk mengulas jika beliau bersetuju dengan kenyataan Ketua Umum HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Guan Eng harus lebih sensitif kerana kenyataan yang dikeluarkannya memberi kesan kepada pelabur dan pasaran.

“Saya percaya terdapat keperluan untuk membina Malaysia baru, dan kita mesti boleh membetulkan kesilapan masa lalu.

“Apa yang lebih penting adalah kita perlu komited dan tidak sesekali bertoleransi dalam apa jua bentuk rasuah di negara ini.

“Malah, sepanjang karier politik saya selama 52 tahun, saya turut membongkar segala salah laku. Jadi, saya rasa tidak salah untuk berbuat demikian.

Malaysiakini, (misalnya), akan mendedahkan ini jika mereka mempunyai maklumat, dan mereka (mungkin) menyalahkan menteri kerana menutupnya,” katanya.

Semalam, Guan Eng berkata beliau menghargai nasihat Anwar berhubung pembongkaran salah laku kerajaan terdahulu tetapi akan tetap mendedahkan perkara itu kepada umum.

Malah, katanya, semua pendedahan skandal kewangan terutama 1MDB adalah atas arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar sendiri sedia maklum tentang perkara itu.

Anwar sebelum ini menyarankan kepada Guan Eng agar beliau menyerahkan pembongkaran salah laku dan penyelewengan pentadbiran BN kepada menteri lain dan SPRM. https://www.malaysiakini.com/news/430422

error: Content is protected !!