Semasa PRU14 2018 | Takiyuddin seru Husam uji kekuatan di Kubang Kerian

Takiyuddin seru Husam uji kekuatan di Kubang Kerian

Semasa PRU14 2018 | PETALING JAYA: Datuk Takiyuddin Hassan menyeru Datuk Husam Musa untuk bertanding di Parlimen Kubang Kerian yang pernah dimenangi pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu pada 1999 bagi membuktikan kekuatan sebenarnya selepas meninggalkan PAS.

Setiausaha agung PAS berkata, beliau mahu naib presiden Amanah itu melihat sama ada kemenangan pada 1999 kerana sokongan rakyat kepada dirinya atau parti Islam.

“Orang ini diangkat dan mendapat kedudukan menjadi exco semua kerana PAS. Kita cadangkan orang-orang yang meninggalkan PAS bertanding balik di tempat sama, baru kita boleh lihat sama ada rakyat memilih kerana beliau atau parti,” katanya.

Husam yang memenangi DUN Salor sejak 2008 atas tiket PAS, dipecat keanggotaannya dalam parti Islam itu pada April 2016, susulan kelantangan mengkritik Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan kerjasama PAS-Umno.

Husam menyertai Amanah pada 30 Ogos 2016 dan kemudian dilantik naib presiden Amanah.

Husam yang mengakui dirinya anak didik bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memenangi Parlimen Kubang Kerian pada 1999 atas tiket PAS dengan kelebihan 16,091 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Siti Jeliha Hussin.

Husam diberi kepercayaan menjadi exco Kelantan dalam pentadbiran Nik Aziz selama 2 penggal sejak PRU 2004.

akiyuddin tidak menolak Husam menentang PAS kerana parti tidak memberi jawatan kepadanya.

“Sepatutnya, kita diajar menerima arahan segala tugas oleh parti, suatu hari kita jadi pemimpin dan suatu hari kita tidak dipilih. Sebagai pemimpin sepatutnya kita teruskan perjuangan.

“Saya pernah tidak ada jawatan, saya tak lari, saya tetap dengan PAS dan satu hari saya dikembalikan dengan mendapat kepercayaan parti. Saya tidak pernah tergugat kalau tidak ada jawatan.”

Kota Bharu pun boleh

Takiyuddin yang menang di Parlimen Kota Bharu pada 2013 juga bersedia berdepan Husam di tempatnya jika beliau dicalonkan PAS.

“Sepatutnya bertanding di Parlimen Kubang Kerian dan DUN Salor, jangan pergi tempat lain. Kalau saya lari dari parti, saya kena bertanding di Kota Bharu, kita tengok orang pilih saya atau pilih parti,” katanya.

Takiyuddin bersedia berdepan sesiapa sahaja di Kota Bharu termasuk Barisan Nasional (BN) yang dikatakan akan menurunkan seorang calon muda, anak kepada Ketua Umno Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

“Rakyat akan memilih berdasarkan kemampuan pemimpin yang bawa hasrat mereka di Parlimen. Tapi calon muda ini dia tidak lagi ada rekod, jadi rakyat tak boleh nilai.”

Pada PRU 2013, Takiyuddin menewaskan Fatmi di Kota Bharu dengan majoriti 15,970 undi. Beliau juga pernah memenangi DUN Bunut Payong dari 1999 hingga 2008.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Kelantan Wan Rahim Wan Abdullah mengesahkan Husam akan mewakili PH bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu dan DUN Salor.

“Husam ini kelebihan dia banyak, dalam pentadbiran telah terbukti masa dia jadi exco. Banyak pandangan dan ucapan beliau di Parlimen mendapat perhatian.

“Tun Dr Mahathir Mohamad masa beliau jadi perdana menteri memang menyatakan tertarik dengan idea Husam di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata Husam mempunyai kreativiti dan daya usaha kerja yang tidak boleh ditandingi mana-mana pemimpin politik di Kelantan sekarang ini.

“Beliau juga diikuti anak muda di media sosial.” http://www.freemalaysiatoday.com

error: Content is protected !!