Semasa PRU14 2018 | Pas Wilayah Persekutuan Pertaruh Sembilan Calon Parlimen

Pas Wilayah Persekutuan Pertaruh Sembilan Calon Parlimen

Semasa PRU14 2018 | PUTRAJAYA – Pas Wilayah Persekutuan mengumumkan bakal meletakkan sembilan bagi  kerusi Parlimen di sini.

Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad berkata, nama kesemua calon tersebut telah dimuktamadkan dan bakal diumumkan pada 19 Mei ini bertempat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak.

Menurutnya, calon terpilih adalah gabungan anak muda dan berpengalaman termasuk seorang wakil wanita.

“Pas Wilayah Persekutuan bakal bertanding bagi Parlimen Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai, Segambut, Putrajaya dan Labuan.

“PRU13 lalu seramai tiga calon disenaraikan iaitu bagi kawasan Putrajaya, Titiwangsa dan Labuan. Bagaimanapun calon Pas kerusi Labuan menarik diri bagi memberikan laluan kepada calon PKR, Tan Sri Ibrahim Menuddin,” katanya yang mengesahkan tidak meletakkan calon Dewan Himpunan Penyokong Pas bagi kawasan Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata demikian sewaktu pelancaran Manifesto Pas Wilayah Persekutuan PRU14 yang diadakan sebentar tadi bertempat di Studio Ilmu Nadi@15 Presint 15, Putrajaya.

Sebanyak 25 tawaran disediakan Pas Wilayah Persekutuan berpandukan tujuh kluster iaitu agama, pendidikan, perumahan, wanita, ekonomi, sosial, infrastruktur dan pengangkutan.

“Antaranya membina Sekolah Menegah Agama di semua zon pentadbiran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan(Jaiwp). Menyerap guru-guru agama berkelayakan ke jawatan tetap dengan gaji minimum RM1,500.

“Menambah bilangan pegawai agama di Jaiwp bagi menangani isu sosial, pengajian al-Quran secara percuma di semua sekolah agama dan tuisyen percuma bagi anak-anak dari keluarga berpendapatan sederhana serta rendah,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya dan Ketua Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan, Md Ali Jamil.

error: Content is protected !!