Semasa PRU14 2018 | PAS Perbanyak Sekolah Agama Jika Tawan Wilayah Persekutuan

PAS Perbanyak Sekolah Agama Jika Tawan Wilayah Persekutuan

Semasa PRU14 2018 | PUTRAJAYA: Manifesto pilihan raya PAS Wilayah Persekutuan membuktikan ketekalan parti Islam itu walaupun beroperasi di kota metropolitan Kuala Lumpur dan bandar Putrajaya dan Labuan yang majmuk dan pelbagai ragam.

Seiring dengan agenda Islam yang dibawa parti itu, PAS Wilayah Persekutuan antaranya menawarkan pembinaan sekolah agama, kelas pengajian Al-Quran percuma, pertambahan pegawai agama bagi menangani gejala sosial dan wilayah bebas jenayah.

“Sebanyak 25 tawaran yang kita tawarkan kepada penduduk Wilayah Persekutuan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” kata Pesuruhjaya Mohamad Noor Mohamad di majlis pelancaran manifesto semalam.

Menurut manifesto itu, PAS berhasrat untuk membina sekolah agama di semua 7 zon pentadbiran jabatan agama, kelas Al-Quran percuma di semua sekolah agama dan menyerap guru agama berkelayakan ke jawatan tetap bersama pencen dan gaji minimum RM1,500.

Manifesto itu juga memberi perhatian kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, menawarkan tuisyen percuma untuk pelajar, subsidi penjagaan anak, subsidi bekalan air dan elektrik sehingga 20%, karnival jualan murah dan sistem sewa beli untuk pemilikan rumah pertama.

Turut ditawarkan tabung alternatif kepada PTPTN, yayasan khas buat wanita berniaga dan asnaf, tabung khas usahawan, pusat pembangunan buat golongan gelandangan dan platform perniagaan dalam talian yang sistematik dan patuh syariah.

Mengenai kerusi bertanding, Noor berkata PAS akan meletakkan calon di 9 daripada 13 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan, iaitu di Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa, Segambut, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Putrajaya dan Labuan.

“Kami yakin PAS mampu mencipta kejutan di sini,” katanya, dan menambah mereka akan meletakkan seorang calon wanita di salah satu kerusi itu. Senarai calon akan diumumkan 19 April nanti.

Percaturan PAS menyaksikan mereka tidak meletakkan calon di 4 kawasan yang dianggap kubu DAP iaitu Cheras, Kepong, Bukit Bintang dan Seputeh.

Noor tidak menolak kemungkinan akan mencabar Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Purajaya. http://www.freemalaysiatoday.com/

error: Content is protected !!