Semasa PRU14 2018 | Jangan Benar Agenda Dr Mahathir Rampas Hak Rakyat – Tiong Lai

Jangan Benar Agenda Dr Mahathir Rampas Hak Rakyat - Tiong Lai

Semasa PRU14 2018 | BENTONG: Rakyat tidak boleh membenarkan agenda peribadi Tun Dr Mahathir Mohamad merampas hak mereka untuk memilih kerajaan yang bertanggungjawab dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata tindakan Dr Mahathir kembali semula ke medan pilihan raya umum lebih berpaksikan kepada agenda peribadi dan dendam terhadap Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri.

Katanya, pengundi perlu faham dengan taktik licik itu dan sedar bahawa PRU14 adalah untuk rakyat memilih kerajaan dan bukannya lapangan bagi seseorang individu membalas dendam.

“Untuk menjayakan agenda peribadinya terhadap perdana menteri, Dr Mahathir telah memutarbelitkan pelbagai kebaikan yang dibawa kerajaan sehingga sanggup memesongkan fikiran rakyat dengan tuduhan serta dakwaan tidak berasas semata-mata untuk membangkitkan kebencian terhadap Najib dan Barisan Nasional (BN).

“Hasil perancangan dan agenda tersusun bagi memajukan rakyat dan negara yang dirangka perdana menteri, rakyat tentunya tidak boleh membenarkan pilihan raya ini dirampas oleh Dr Mahathir dan sekutunya dalam pakatan pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Eco Pelancongan dan Agro Pelancongan Pahang Barat di sini, pada Sabtu.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata demi mencapai matlamat peribadi itu, Dr Mahathir yang kini merupakan pengerusi Pakatan Harapan telah menimbulkan bermacam-macam persepsi buruk terhadap kerajaan.

“Ini termasuk menuduh Najib menjual kedaulatan negara melalui pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gambang serta pembangunan Forest City di Iskandar Malaysia di Johor,” katanya.

Beliau berkata selaku bekas perdana menteri, Dr Mahathir sebenarnya tahu tentang kaedah-kaedah di dalam menarik pelaburan asing dan faedahnya kepada rakyat tetapi sengaja ‘membutakan mata’ dan terus menaburkan fitnah bagi mencapai hajatnya.

“Tetapi kita yakin tindakan untuk meningkatkan kebencian terhadap kerajaan itu tidak akan berjaya mempengaruhi rakyat yang sekian lama menikmati faedah daripada perancangan yang dibuat kerajaan,” katanya.

Tiong Lai selaku penyandang kerusi Parlimen Bentong mengadakan program turun padang sehari di daerah Bentong pada Sabtu.

— BERNAMA

error: Content is protected !!