Semasa PRU14 2018 | Istana Berkecuali Dalam Kancah Politik – Raja Muda Perlis

Semasa PRU14 2018 | KANGAR: Istana merupakan pihak berkecuali dalam kancah politik dan tidak memihak kepada mana-mana parti, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Beliau bertitah istana hanya berpihak kepada perlembagaan dan undang-undang yang dilaksanakan secara adil dan saksama.

“Istana juga sentiasa akur kepada kehendak rakyat yang selaras dengan sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan negara ini.

“Apa yang menjadi kewajipan istana ialah membimbing rakyat kepada kesantunan budi dan keluhuran adat yang mulia,” titah beliau ketika merasmikan Majlis Muhibbah Bersama Masyarakat Cina dan Siam di One Centre Malaysia Darul Abrar dekat sini, petang ini.

Beliau merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah kepimpinan istana adalah saksama, merentasi agama, parti politik dan warna kulit.

Tuanku Syed Faizuddin juga menegaskan setiap kerajaan dan pentadbiran harus sentiasa adil dan saksama kepada semua rakyat tanpa mengira latar politik mereka.

Turut hadir pada majlis itu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

error: Content is protected !!