Semasa PRU14 2018 | Fitnah Hapus Hak Melayu, Menteri ‘Telur Penyu’ Patut ditangkap Sebar Berita Palsu

Fitnah Hapus Hak Melayu, Menteri ‘Telur Penyu’ Patut ditangkap Sebar Berita Palsu

Semasa PRU14 2018 | Menteri UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob sewajarnya menjadi orang pertama yang ditangkap di bawah Akta Antiberita Tidak Benar yang baharu digazet.

Gesaan itu dibuat pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, ekoran laporan Utusan Malaysia tentang Ismail yang mendakwa kononnya setiap undi kepada DAP adalah ibarat memberi kuasa kepada Pakatan Harapan untuk menghapuskan hak istimewa Melayu serta keunikan Islam di Malaysia.

Tangkapan di bawah akta baru itu, kata Kit Siang akan menyelamatkan Malaysia daripada mereka yang terdesak sehingga sanggup menggadaikan keamanan dan keharmonian negara demi kepentingan diri sendiri.

“Wujud golongan yang sedang cuba menghalang perubahan kerajaan persekutuan dalam PRU ke-14.

“Ini dilakukan dengan politik pembohongan, ketakutan dan kebencian; serta secara palsu membingkai PRU akan datang ini sebagai pertembungan antara Melayu dan Cina, serta antara Islam dan musuhnya,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Memanggil Ismail sebagai ‘menteri telur penyu’, Kit Siang mendakwa beliau adalah antara mereka yang cuba melakukan perkara tersebut.

“Sedangkan hakikatnya pertembungan kali ini adalah antara Najib serta kleptokrat UMNO, berhadapan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Menurut beliau, PRU ke-14 adalah perlawanan antara rakyat yang mahu menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi dengan gerombolan yang tidak peduli negara menjadi bahan ketawa dunia, hasil skandal pengubahan wang haram 1MDB.

Kit Siang mempersoalkan sama ada beliau akan ditangkap dan didakwa di bawah akta berita palsu yang baru diluluskan Parlimen minggu lalu, bersama-sama sidang pengarang Utusan Malaysia.

“Dakwaan ini adalah palsu dan bohong semata-mata. Semua dokumen Pakatan Harapan termasuk manifesto PRU ke-14 secara jelas dan spesifik menyokong Perkara 153 tentang hak istimewa Melayu dan Perkara 3 tentang Islam sebagai agama Persekutuan,” jelas penyandang kerusi Parlimen Gelang Patah itu.

Ismail Sabri sebelum ini pernah dikecam susulan kemunculan gambar beliau menghadiri majlis makan malam yang menghidangkan telur penyu.

Penyu adalah spesis haiwan yang terancam di negara ini, dan memakannya adalah tertakluk kepada larangan undang-undang. – Roketkini.com

error: Content is protected !!