Semasa PRU14 2018 | Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan Bakal Cabar Mahfuz di Pokok Sena

Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan Bakal Cabar Mahfuz di Pokok Sena

Semasa PRU14 2018 | ALOR SETAR: Lagenda bola sepak Kedah yang juga bekas pemain kebangsaan, Radhi Mat Din, dinamakan untuk bertanding bagi mewakili Parti Islam Semalaysia (Pas) di Parlimen Pokok Sena.

Radhi, 53 tahun, mendapat perhatian ramai setelah membuat keputusan untuk mula berkecimpung dalam bidang politik malah beriltizam untuk menghapuskan gejala rasuah terutamanya membabitkan sukan bola sepak.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat pengumuman tersebut dalam sesi rapat umum Gelombang Hijaukan Kedah PRU14 yang diadakan di Markas PAS Cawangan Alor Ibus pada Sabtu.

Katanya, senarai nama calon yang bakal bertanding bagi mewakili Pas akan diumumkan sepenuhnya pada 19 April ini.

“Kita ada macam-macam latar belakang calon. Ada yang muda, ada muslimat (wanita) dan juga bukan Islam,” katanya pada sidang media selepas majlis berkenaan.

Namun, bila ditanya mengenai calon Menteri Besar Kedah, beliau berkata ia bakal diputuskan selepas Pas menang untuk membentuk kerajaan.

Radhi dijangka menentang Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz, bekas Naib Presiden Pas, meninggalkan parti itu pada 31 Dis lepas setelah 34 tahun bersama parti itu.

Selain Radhi, Pas turut mempertaruhkan seorang lagi muka baru yang merupakan seorang ahli farmasi, untuk Parlimen Kuala Kedah, iaitu Muhamad Riduan Mohd Othman.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurrazi diumumkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundur. http://www.astroawani.com

error: Content is protected !!