Semakan Daftar Pemilih & Daftar Tempat Mengundi PRU 14 Tahun 2018

Semakan Daftar Pemilih & Daftar Tempat Mengundi PRU 14 Tahun 2018

SEMAKAN DAFTAR PEMILIH PILIHAN RAYA UMUM KE-14 BERMULA 16 APRIL 2018

1. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan bahawa mulai 16 April 2018, semua pemilih berdaftar boleh membuat semakan mengenai maklumat lengkap daftar pemilih mereka yang terkini untuk mengetahui tempat mengundi di bahagian pilihan raya masing-masing.

2. Semakan boleh dibuat melalui pelbagai kaedah dan saluran seperti berikut:

a) anda boleh membuat semakan dengan menggunakan aplikasi mudah alih My SPR Semak. Aplikasi ini boleh dimuat turun dalam Google Play Apps atau Apple Apps secara percuma. Selain semakan daftar pemilih, aplikasi ini juga menyediakan kemudahan untuk menyemak nama calon yang bertanding di sesuatu bahagian pilihan raya dan juga boleh menyemak keputusan pilihan raya yang dipertandingkan.

b) selain daripada itu, pemilih berdaftar juga boleh membuat semakan melalui pautan: pengundi.spr.gov.my.

c) pemilih berdaftar juga boleh menelefon ke talian hot line 03-88927018 atau telefon ke mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

d) pemilih juga menyemak melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) iaitu dengan cara menghantar SMS ke talian 15888 dengan menaip SPR <Jarak> No.KAD PENGENALAN dan SMS ke 15888.

3. Berikutan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu telah dikuatkuasakan baru-baru ini, pemilih berdaftar adalah dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat daftar pemilih mereka lebih awal agar memudahkan perancangan pada hari pengundian. Sekiranya semakan telah dibuat dan pemilih telah mengetahui maklumat Pusat Mengundi serta Tempat Mengundi (saluran), maka pada hari mengundi mereka tidak perlu membuat semakan lagi di kaunter SPR (barung semakan) di Pusat Mengundi.

Sekian dan terima kasih.

JOM KITA SEMAK & JOM KITA UNDI

ANDA PENENTU MASA DEPAN NEGARA

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR)
Tarikh : 12 April 2018 / 25 Rejab 1439H

error: Content is protected !!