Semasa PRU14 2018 | Raja Bahrin Tanding Dua Kerusi?

Raja Bahrin Tanding Dua Kerusi?Semasa PRU14 2018 | KUALA TERENGGANU – Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah tidak menolak kemungkinan bertanding di dua kerusi iaitu parlimen dan Dun dalam PRU14 pada 9 Mei nanti.

Mengakui akan mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenanginya pada PRU13, beliau bagaimanapun tidak menyatakan kerusi Dun mana akan diwakilinya nanti.

“Memang ada permintaan agar saya turut bertanding di kerusi Dun. Kawasan mana belum pasti lagi, terserah kepada pimpinan parti menentukan.

“Apa yang pasti, saya akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu dan saya jangkakan berlaku pertembungan tiga penjuru, atau lebih di kerusi ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Ditanya peluang kemenangannya di kerusi tersebut yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan, Raja Bahrin mengakui ia bukan mudah namun potensinya tetap ada.

Peluang kemenangan itu katanya bersandarkan kepada tekanan dihadapi oleh rakyat ekoran masalah ekonomi dan pelbagai isu yang melanda .

“Isu-isu ini akan jadi penentuan selain perpecahan dalam Pas dan Umno itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Harapan Terengganu akan mengumumkan senarai calon yang bertanding di negeri ini pada 26 April nanti dalam satu majlis di Dungun.

Raja Bahrin berkata, pengumuman itu sempena Majlis Himpunan Jelajah yang akan dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan kepimpinan tertinggi Harapan lain termasuk Datin Seri Wan Azizah Ismail.

Pada PRU13, Raja Bahrin yang bertanding atas tiket Pas berjaya menewaskan calon BN, Datuk Mohd Zubir Embong dengan 10,785 majoriti undi.

error: Content is protected !!