PAS Sekali Lagi Mengajar Malaysia Berpolitik

PAS Sekali Lagi Mengajar Malaysia Berpolitik

Bermula dengan manifesto yang holistik, wawasan yang jauh, budaya politik baru dan idea kerajaan teknokrat yang terkehadapan, PAS muncul sekali lagi menjadi juara isu yang sangat menggusarkan pendokong secara khusus, dan rakyat secara am.

Benarlah politik itu sebuah gelanggang yang penuh sepak terajang.

Hanya dua hari selepas pilihanraya selesai, PAS diletakkan di persimpangan jalan apabila menjadi ‘king-maker’ di dua buah negeri Kedah dan Perak.

Belum sempat pimpinan bersuara, belum sempat majlis syura duduk berbincang, gendang perang ke atas PAS telah dipalu.

Ada yang menuduh PAS akan berUG dengan BN. Ada yang fitnah wakil rakyat PAS akan melompat katak. Ada yang tanpa segan-silu sudah membuat ‘press-conference’ menobatkan diri sendiri sebagai MB baru.

Ia ibarat situasi ditelan mati emak, diluah mati bapak.

Tetapi PAS terus tenang. Rupanya mereka tidak makan di hidangan yang sama.

Akhirnya MB Kedah daripada PH mengangkat sumpah tanpa ada gangguan dan huru-hara, dan PAS dengan penuh ta’zim bersedia menjadi pembangkang yang baik di negeri tersebut dengan beza 3 kerusi sahaja dengan parti kerajaan negeri.

Nyata mereka bukan gila kuasa, tetapi benar meletakkan Islam sebagai dasar.

Kerana itu di Perak pula permainan menarik, dengan 3 kerusi dan 3 wakil rakyat PAS mempunyai keupayaan membentuk kerajaan dengan mana-mana pihak yang bersetuju dengan dasar dan syarat ketat Islam yang dikenakan.

MANA-MANA PIHAK YANG BERSETUJU DENGAN DASAR DAN SYARAT KETAT ISLAM YANG DIKENAKAN.

Rakyat menunggu dengan penuh tanda tanya. Adakah PAS akan ‘menongkat’ kerajaan BN? Adakah PAS akan bersama PH dan memerintah di bawah payung kerajaan pusat?

TIDAK!

PAS dengan penuh selamba, ‘macho’ dan bergaya menyepak bola ke gelanggang lawan sehingga sampai ke petak penalti.

Kini bola berada di tangan PH dan BN.

Adakah mereka akan bersetuju untuk bekerjasama di dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Perak untuk mengutamakan rakyat dan memimpin secara konsensus?

Wayang telah dimainkan dan ‘popcorn’ sudah tersedia.

Pastinya pilihan yang dibuat bakal memberikan implikasi kepada pandangan am terhadap kerajaan persekutuan baru yang telah dibentuk, manakala kerajaan BN yang di hujung usia sepatutnya menerima pelawaan tersebut dengan penuh insaf.

Nah, pendokong dan pencinta Parti Islam Se-Malaysia.

Benar kalian bersuara atas dasar cinta, tetapi di dalam mana-mana parti pun sama, ada Majlis Tertinggi, ada syura dan kepimpinan yang akan membuat keputusan.

Kerana imam di hadapan melihat seluruh makmum di belakangnya, sedangkan si makmum hanya melihat kelompok kecil yang berada di sekelilingnya.

Nadir Al-Nuri,
11 Mei 2018
Gaza

error: Content is protected !!