Semasa PRU14 2018 | PAS Negeri Sembilan Umum Calon Minggu Ini

PAS Negeri Sembilan Umum Calon Minggu Ini

Semasa PRU14 2018 | PAS Negeri Sembilan akan mengumumkan senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), minggu ini.

Pesuruhjaya PAS negeri Mustafa Daharun berkata, satu mesyuarat diadakan di pejabat PAS Pusat esok sebelum pengumuman calon dibuat serentak di seluruh negara.

“PAS negeri berkemungkinan mempertaruhkan lebih daripada 34 calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Paling kurang kita akan bertanding 26 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen. Kita akan buat pengumumannya dalam masa tiga hingga empat hari lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas pengumuman calon itu, Mustafa berkata, pada majlis berkenaan nanti PAS negeri akan turut melancarkan manifesto yang mempunyai beberapa teras dengan memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat berasaskan agama Islam.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Jempol, Mustafa enggan mengulas lanjut, namun tidak menolak kemungkinan memandangkan beliau adalah Yang Dipertua PAS Jempol.

Pada masa sama, Mustafa mengingatkan parti berkenaan supaya tidak menimbulkan sebarang isu dalaman dan berebut untuk menjadi calon menjelang PRU-14, pada Mei ini.

Pada PRU-13, PAS tewas di semua 12 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen yang ditandingi. – www.hmetro.com.my

error: Content is protected !!