Nik Abduh Nafi Abang Nak Menyeberang ke AMANAH

Nik Abduh Nafi Abang Nak Menyeberang ke AMANAH

Nik Abduh Nik Abdul Aziz menafikan salah seorang anggota keluarganya akan menyertai AMANAH sekali gus diturunkan sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kata anggota Jawatankuasa Pusat PAS yang mendapat undian tertinggi dalam pemilihan lalu itu abangnya, Nik Omar, kekal istiqamah bersama PAS.

Nik Abduh juga menegaskan tiada sebarang rundingan dijalankan untuk memujuk Nik Omar menyertai AMANAH.

“Tidak akan berlaku (Nik Omar) menyertai AMANAH.

“Tiada rundingan (berlangsung), keluarga kami menafikannya. (Dakwaan AMANAH) ini propaganda untuk pecah-belahkan rakyat Kelantan,” katanya kepada media di Pasir Mas hari ini.

Nik Abduh ditemui semasa menghadiri majlis kenduri anak bekas wakil rakyat kawasan Bukit Tuku, Abdul Fattah Haron.

Semalam salah seorang pemimpin AMANAH Kelantan mendakwa mereka sedang berunding untuk memuktamadkan penyertaan anak kedua Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat ke dalam parti berkenaan.

Jika menjadi kenyataan ia akan mewujudkan pertembungan adik-beradik di kalangan waris bekas menteri besar Kelantan berkenaan.

Serah kepada parti

Nik Abduh dikenali sebagai salah seorang pemimpin PAS yang tegar menyokong pendekatan diambil parti itu sejak Nik Abdul Aziz meninggal dunia.

Pada masa sama Nik Omar pula kelihatan lebih terbuka dan pernah dilihat bersama-sama pemimpin AMANAH sekarang dalam majlis tertentu.

Perwatakan Nik Omar juga banyak mengingatkan orang ramai kepada ketokohan serta sikap lemah-lembut Nik Abdul Aziz.

Pemerhati berpendapat jika Nik Omar benar-benar menyertai AMANAH kemungkinan besar dia akan menjadi calon PRU akan datang.

Sementara itu mengenai kedudukannya dalam PRU ke-14 ini – sama ada kekal bertanding di parlimen atau tidak – Nik Abduh berkata dia menyerahkan keputusan itu kepada kepimpinan parti.

“Tentang pencalonan, saya tak mahu ulas sebab adat dalam jemaah, tak molek. Kita kena serah kepada pimpinan,” katanya yang menyandang kerusi parlimen Pasir Mas.

Menurut Nik Abduh setakat ini hanya satu nama sudah disahkan menjadi calon PAS iaitu ketua penerangan parti berkenaan, Nasrudin Hassan.

Nasrudin sebelum ini memenangi kerusi parlimen Temerloh namun dinamakan sebagai calon Indera Mahkota oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

error: Content is protected !!