MCA Tetap Raikan Warga Malaysia Balik Mengundi

MCA Tetap Raikan Warga Malaysia Balik Mengundi

Parti MCA berkata mereka mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sempena PRU pada 9 Mei ini.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas timbalan perdana menteri sementara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan nasihatnya mengenai masalah rakyat Malaysia yang berdepan masalah cuti di luar negara.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata rakyat negara ini yang berhak mengundi patut dialu-alukan pulang dengan apa cara pun bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Saya tak peduli apa orang lain kata. Tapi saya rasa kita wajar benarkan mereka pulang mengundi dengan apa cara yang wajar,” katanya kepada Malaysiakini.

Penyandang kerusi parlimen Ayer Hitam di Johor itu juga berkata MCA juga tidak ada masalah dengan pertubuhan sivil yang menggerakkan inisiatif berkongsi kenderaan untuk pulang mengundi sempena PRU ke-14 ini.

“Dari perspektif MCA kami menyambut baik langkah mereka memenuhi tugas sebagai warganegara (untuk mengundi). Kami mengalu-alukan mereka,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei ini sebagai hari mengundi bagi pemilih berdaftar biasa, manakala pengundi awal ditetapkan pada 5 Mei.

Bukan mesti undi pembangkang

Ia mencetuskan kemarahan banyak pihak kerana diadakan pada pertengahan minggu, sekali gus menyukarkan ramai orang untuk mengundi.

Biasanya hari pengundian diadakan pada Sabtu dan Ahad.

Langkah memilih Rabu sebagai hari mengundi dibuat ketika SPR menyatakan mereka mahu melihat PRU kali ini mencatatkan jumlah peratusan orang keluar mengundi yang tinggi.

Sebagai reaksi spontan beberapa pihak menggerakkan pelbagai inisiatif bagi membolehkan pemilih yang bekerja atau belajar jauh dari tempat mengundi, pulang menunaikan tanggungjawab di tempat masing-masing.

Antaranya menyediakan dana membantu meringankan kos perjalanan, menawarkan cuti serta berkongsi kenderaan.

Ahmad Zahid semalam berkata lebih baik rakyat Malaysia yang berada di Singapura tidak pulang mengundi jika tidak mendapat kebenaran majikan masing-masing.

“Pada hemat saya, kerajaan tak ada galak atau tolak, kerana itu hak peribadi untuk mengundi.

“Tetapi jika majikan negara berkenaan tidak izinkan, maka saya fikir perkara yang baik adalah jangan balik mengundi,” katanya di Kluang, Johor.

Beberapa syarikat Singapura mengumumkan bahawa pihak mereka tidak akan memberikan cuti kepada pekerja Malaysia pada hari 9 Mei ini.

Ditanya mengenai kesesakan laluan yang menghubungkan Singapura dan Johor pada hari mengundi nanti, Wee berkata, ia memang akan berlaku.

“Bagi rakyat kita yang tidak menetap di Johor Bahru mereka akan melihat kesesakan itu sebagai masalah besar.

“Pada hari biasa pun Tambak Johor akan sesak. Kadang-kadang ia tak ada kaitan dengan pihak berkuasa Malaysia. Mungkin sebab kemalangan, atau kastam Singapura mengetatkan pemeriksaan,” katanya.

Wee juga menafikan kerajaan sengaja menyukarkan pengundi untuk memilih pembangkang melalui keputusan berkenaan.

Katanya tidak ada keperluan bagi kerajaan bertindak begitu sebaliknya BN berharap orang ramai dapat pulang mengundi dengan selesa.

“Mereka adalah saudara-mara kita. Mereka mahu balik mengundi. Mengapa kita kena susahkan hidup mereka?.

“Lagi pun mereka (yang pulang mengundi itu) bukan semestinya menyokong pembangkang,” katanya.

error: Content is protected !!