Semasa PRU14 2018 | Malaysiakini salah tafsir maksud Presiden PAS

Malaysiakini salah tafsir maksud Presiden PASSemasa PRU14 2018 | SAYA merujuk kepada berita yang disiarkan oleh portal Malaysiakini “Hadi: Baiah taklik di Kelantan kekal”, 11 April 2018 adalah berita yang disalah tafsirkan daripada maksud sebenar Presiden PAS.

Malaysiakini melaporkan “Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, partinya itu akan mengekalkan sumpah taklik cerai talak tiga bagi calonnya di Kelantan bagi memastikan tiada lagi peristiwa calon lompat parti.”

Sedangkan jawapan sebenar Presiden PAS ketika menjawab soalan wartawan dalam satu sidang media sempena Ceramah Perdana & Pelancaran Manifesto PAS Melaka di Dewan Muallim Bukit Katil Melaka pada 9 April 2018 menyebut bahawa: “Baiah diteruskan. Majlis Syura Ulama membuat keputusan baiah diteruskan. Baiah ini satu daripada syarat dalam politik Islam.” Bahkan baiah ada penambahbaikan mengikut keadaan kesesuaian masa dan keadaan. Namun bila ditanya mengenai talak tiga, Presiden menjawab: “Itu berkait dengan sebab yang khusus di Kelantan. Itu bukan benda yang tetap, tidak. Dasar umumnya ialah baiah setia kepada dasar matlamat PAS, tak khianat.”

Maka jelaslah bahawa Presiden PAS tidak pun menyebut akan mengekalkan baiah talak tiga di Kelantan pada PRU 14, beliau hanya menyatakan secara umum bahawa baiah akan diteruskan dan soal talak tiga akan dilihat sebabnya secara khusus dan ia tidak tetap dan boleh berubah mengikut kesesuaian semasa.

Kesimpulan yang dibuat oleh Malaysiakini tersasar dengan menggambarkan apa yang tidak disebutkan oleh Presiden PAS.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL MALIK AB RAZAK
Setiausaha Akhbar Presiden PAS
Bertarikh: 26 Rejab 1439 / 12 April 2018 – HARAKAHDAILY 12/4/2018

error: Content is protected !!