Kenapa Cikgu Sekolah Saya Sokong Pakatan Harapan

Baru lepas ziarah Raya bekas guru sekolah saya yang juga Imam surau di kampung saya di Johor yang kini menyokong Kerajaan PAKATAN HARAPAN. Peluang yang saya ambil untuk memahami pandangan beliau berkenaan keputusan yang diambil beliau untuk menyokong gabungan politik itu:

1. Tun M sudah bertaubat. Orang yang sudah bertaubat kita kena terima kata dia. (Komen saya : Adakah Tun M sudah bertaubat? lebih-lebih lagi dengan kenyataan terbaru Tun M berkenaan Hudud, RUU355 dan Para Syuhada Memali).

2. Beliau yakin Kerjasama UMNO-PAS pernah diusahakan dan akan berlaku. Beliau merujuk kepada usaha Dr. Hassan Ali untuk jadi MB Selangor dengan kerjasama UMNO yang ditentang Khalid Samad (Komen saya : Selepas lebih sedekad fitnah UG PAS-UMNO, PAS masih tidak jalinkan Tahaluf Siyasi dengan UMNO sehingga ke hari ini, malah pendirian PAS ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Naib Presiden PAS yang mahu UMNO dibubarkan dan ahli serta pemimpin itu dijemput untuk menyertai PAS. Dr. Hassan Ali juga sudah dipecat dari PAS).

3. Beliau tidak setuju dengan keputusan Kerajaan Johor yang terdahulu untuk halang masuknya beberapa agamawan@penceramah seperti Dr. MAZA ke Negeri itu termasuk label Wahabi ke atas agamawan tertentu.

4. Beliau meletakkan harapan pada Dr. Maszlee Malik dan rakan-rakan beliau.

5. Beliau percaya kenyataan Almarhum TGNA tetapi tidak TGHH.

6. Merujuk kepada iktibar Perang BADAR oleh segelintir pemimpin PAS dalam soal kemenangan (walaupun jumlah sedikit) serta tidak bersandarkan kepada realiti semasa kekuatan yang ada agak keterlaluan lebih-lebih lagi adanya ahli PAS yang tidak sempurna soal solatnya sedangkan sahabat Nabi yang terlibat dalam Perang Badar sudah sempurna iman dan amalnya hasil dari Tarbiah junjungan Baginda S.A.W.

7. Banyak kebaikan yang sudah dilihat di bawah Kerajaan Baru, antaranya Harga minyak dah turun dan GST sudah dihapuskan.

8. PAS singkir bekas pemimpin mereka yang kini bersama PAN dan yang telah banyak berjasa kepada PAS dan Islam. Kini mereka sudah menjawat jawatan tertinggi dalam Kerajaan seperti Menteri.

9. PAS tidak akui sumbangan bekas pemimpin PAS yang kini bersama PAN seperti Mat Sabu.

10. PAS mahu pemimpin Melayu sahaja jadi pemimpin sedangkan terbukti Lim Guan Eng dah berjaya tadbir Pulau Pinang dengan baik khususnya dalam mengambilkira kebajikan Umat Islam di Negeri itu.

11. Dia suka minda rakyat yang sudah terkongkong selama 60 tahun bahawa UMNO/BN satu-satunya kerajaan yang diyakini untuk memerintah sudah berjaya dipecahkan.

12. Beliau setuju jika Kerajaan PH tidak ‘perform’, Rakyat boleh tukar lagi dalam PRU ke-15 ini.

13. Beliau yakini salahlaku Najib dalam isu derma RM2.6 Billion dan 1MDB kerana Tan Sri Muhyiddin dan Shafie Afdal sanggup diambil tindakan walaupun sudah berada di posisi tinggi Kerajaan.

14. Beliau akui skandal Tun M dan TSMY ketika bersama UMNO tetapi masih mahu mereka berdua diberi peluang di atas ‘pengorbanan’ mereka ketika bersama UMNO selepas tercetusnya skandal RM2.6 billion dan 1MDB.

Begitulah kesudahan cikgu sekolah menengah saya yang pernah menyokong PAS satu ketika dahulu. Memahami pendirian mereka akan membantu saya dan PAS untuk mengatur strategi penerangan yang lebih baik kepada pengundi-pengundi lain di Negara ini khususnya dari kalangan majoriti pengundi Melayu Islam.

Buat masa ini, banyakkan mendengar dari bercakap. SENYUM.

Huzir Sulaiman
Ayer Hitam Batu Pahat
6 Syawal 1439H

error: Content is protected !!