BN gagal kerana enggan akui wujudnya masalah – Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, mengakui antara kesilapan besar pentadbiran di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 baru-baru ini adalah keengganan mengakui wujudnya masalah besar dalam parti UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Dalam temu ramah dengan Channel NewsAsia, kata Khairy, kegagalan bercakap benar demi melindungi pucuk pimpinan parti adalah sesuatu yang akan dikesali seumur hidupnya.

“Kami abaikan semua petanda yang diberi rakyat. Kami tidak sanggup ambil risiko dan akhirnya kami terpaksa tanggung akibatnya.

“Selepas penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal, tiada siapa mahu mengakui yang kami memang ada masalah besar,” katanya.

Muhyiddin, yang dinamakan Menteri Dalam Negeri oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan Shafie yang baru mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah, disingkirkan dari Kabinet selepas secara terbuka mengkritik Najib berkenaan isu 1MDB.

Enggan meletakkan kesalahan seratus peratus ke atas kepimpinan Najib, Khairy sebaliknya mahu setiap anggota parti bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan pertama Barisan Nasional selepas 61 tahun.

“Kekalahan ini bukan sahaja penolakan rakyat terhadap Najib tetapi juga BN dan UMNO. Menerima hakikat itu membolehkan kita membina semula parti,” ujar bekas Menteri Belia dan Sukan ini.

Ditanya bagaimana BN sebagai pembangkang mahu berdepan dengan Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bakal dibebaskan dalam masa terdekat, ini jawapan Khairy.

“Kami perlu bersedia, kerana kami akan berhadapan dengan dua ‘gergasi’ politik.

“Jika dibandingkan dengan mereka, saya umpama ‘semut’. Peranan utama adalah memastikan pembangkang dapat melaksanakan tugas dengan kredibiliti dan bersuara demi rakyat,” katanya. Astro Awani

error: Content is protected !!