Semasa PRU14 2018 | Bekas Pengerusi SPR Bertanding di Putrajaya

Bekas Pengerusi SPR Bertanding di Putrajaya

Semasa PRU14 2018 | Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman akan diumumkan Ahad ini sebagai calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk parlimen Putrajaya.

Menurut sumber dari BERSATU, perkara itu telah disahkan dalam mesyuarat yang diadakan minggu lalu dan dijangka diumumkan oleh Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“(Senarai calon) sudah disahkan bagi Wilayah Persekutuan. 95 peratus senarai calon sudah selesai dan akan diumumkan Ahad ini,” kata sumber kepada Malaysiakini.

Malaysiakini difahamkan bahawa terdapat tiga nama lain yang dicadangkan untuk Putrajaya selain Abdul Rashid.

Antaranya termasuklah Ketua Bahagian BERSATU Putrajaya Hasnul Hadi, Ketua Bahagian BERSATU Wangsa Maju Ahmad Thamby Kadi dan ahli akademik Samsu Adabi Mamat.

Abdul Rashid yang merupakan naib presiden BERSATU itu akan berdepan penyandang Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menang kerusi itu dalam pilihan raya umum (PRU) lalu dengan 5,541 majoriti mengalahkan Husam Musa.

Tengku Adnan yang dikenali sebagai Ku Nan juga merupakan setiausaha agaung Umno.

Sebelum menyertai BERSATU, Abdul Rashid, 76, mengetuai SPR dari 2000 ke 2008 dan pernah menyertai badan pendesak Melayu PERKASA pada 2013.

error: Content is protected !!